suria

Artis persembahan selamba makan pisang lebih setengah juta di galeri Miami

Karya seni yang mencetuskan fenomena dalam kalangan netizen di seluruh dunia, namun akhirnya dijamah oleh seorang artis, David Datuna. Foto: Instagram David Datuna/Indianexpress

HAMPIR RM500,000 nilai seni yang dipamerkan di Miami's Art Basel dan ia hanya sebiji pisang yang dilekatkan ke dinding dengan pita pelekat! 

Tambah menakjubkan apabila harganya meningkat selepas yang pertama dan kedua berjaya memperoleh pembeli.

Mungkin ramai yang tidak percaya kan, tetapi itulah realiti yang berlaku hingga mencetuskan fenomena di media sosial.

Karya seni yang dikenali sebagai 'Comedian' oleh artis Itali, Maurizio Cattelan dipamerkan galeri seni kontemporari Perrotin.

Ia menampilkan mesej berkaitan sitcom televisyen Amerika Syarikat, Arrested Development di saluran Fox dari 2003 hingga 2006 sebelum disiarkan di Netflix pada 2013.

Antara watak utamanya adalah Luccille Bluth yang dilakonkan Jessica Walter.

Hasil seni itu mengetengahkan pandangan Lucille Bluth mengenai bagaimana golongan kaya tidak tahu mengenai harga sebiji pisang seperti dilaporkan menerusi The Guardian.

Menurut laman web galeri itu, dua daripada tiga edisi berkaitan pisang yang viral itu telah dijual kepada dua pencinta seni Perancis pada harga US$120,000 (RM500,000) setiap satu.

Kini, karya ketiga telah meningkat kepada USD150,000 (RM624,000) yang dijangka akan dijual kepada sebuah muzium.

Menurut pihak galeri berkenaan, artis yang menghasilkan karya itu membawa pisang dan menggantungkan pada dinding bilik hotel untuk mendapat inspirasi.

Bagi pembeli pula, mereka bukan sahaja mendapat buah yang telah rosak, malah sijil ketulenan dan paling penting, manual 14 mukasurat mengenai cara hasil seni itu disiapkan.

Sebaik gambar dan video seni ini viral, pelbagai reaksi diterima di laman media sosial. Paling utama ramai yang tidak percaya ia dijual pada harga yang begitu tinggi.

Lebih melucukan apabila netizen mula melekatkan pelbagai buah-buahan dan makanan di dinding dan membidanya sebagai hasil seni. -indianexpress.com

Sementara itu, artis persembahan berpangkalan di New York, David Datuna telah memakan pisang yang dipamerkan di galeri Art Basel dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.45 petang, Sabtu.

"David Datuna telah menjamahnya," demikian lapor Miami Herald.

Datuna telah menarik pita pelekat pada pisang itu dan menanggalkannya dari dinding galeri itu sebelum mengupas kulit pisang itu dan memakannya.

"Enak sekali," katanya kepada The Post.

Apabila ditanya apakah ia lebih enak berbanding pisang biasa?

Jawapnya ringkas: "Tentu sekali."

"Saya boleh memakan pisang dan konsepnya kerana saya seorang artis bukan manusia biasa."

Bagaimanapun ada seorang pengunjung pameran itu kurang senang dengan tindakan lelaki itu dan menjerit: "Kami tidak sepatutnya menyentuh karya seni itu!"

Susulan itu, perbuatan Datuna telah dilaporkan kepada pihak keselamatan galeri berkenaan tetapi artis itu telah berjaya melarikan diri dari premis berkenaan.

Menjelaskan perkara itu, katanya, dia bertindak sedemikian kerana ia satu persembahan seni.

"Persembahan ini dinamakan Hungry Artist," katanya.

Bagaimanapun kata jurucakap galeri itu, Lucien Terras memberitahu The Herald, Datuna tidak merosakkan hasil seni itu.







pisang, miami, Comedian

Artikel Lain