BUNGKUSAN yang disyaki berisi janin bayi ditemui kakitangan lapangan terbang untuk tujuan pemujaan menggunakan patung voodoo. Ia sepatutnya diterbangkan dari Thailand ke Amerika Syarikat. Polis terkejut apabila mereka diminta memeriksa bungkusan yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand ke alamat di Florida. Ia disekat ketika melalui proses pemeriksaan sinaran-x di lapangan terbang itu pada 22 November lalu. Salah seorang pengawal keselamatan mengesyaki sesuatu apabila melihat seolah-olah bungkusan itu berisi janin dengan kepala dan kaki membengkok. Petugas itu seterusnya memaklumkan pihak polis dan paramedik. Selepas diperiksa, bentuk umpama mayat bayi itu disahkan palsu. Apabila dibuka, didapati bungkusan itu seolah-olah berisi mayat bayi dengan ukuran kira-kira 30 sentimeter yang diperbuat daripada damar. Berdasarkan surat yang ada dalam bungkusan itu, ia untuk tujuan pemujaan menerusi ritual patung voodoo. Berdasarkan arahan yang tertera pada kertas dalam bungkusan itu, model berbentuk bayi itu digunakan untuk ilmu sihir. "Jika kamu menyimpannya, ia akan mengelak sebarang keburukan atau ilmu sihir menimpa kamu. Penerimanya, Ronald Leake di Tampa, Florida menempah azimat tetapi tidak menyangka akan menerima 'mayat bayi'. Susulan itu, polis Thailand menyekat penghantaran bungkusan itu dan ia dikembalikan kepada pengirimnya. "Kiriman berbentuk azimat ke luar negara dibenarkan tetapi bukan dalam bentuk umpama mayat bayi seperti ini," kata Mejar Krit Khunnavech. - Metro.co.uk