SEPASANG kekasih maut terkena renjatan elektrik ketika sedang bekerja di dapur sebuah restoran makanan segera popular, McDonald. Alexandra Porras Inga dan Gabriel Campos Zapata maut pada Ahad ketika sedang bertugas syif malam di cawangan restoran McDonald dekat daerah Pueblo Libre di Lima, Peru. Kedua-duanya dilaporkan berusia 18 tahun dan merupakan pasangan kekasih yang baharu saja tamat sekolah tinggi. Difahamkan mereka berkerja di restoran itu sejak enam bulan lalu. Menurut polis, gadis itu terkena renjatan elektrik ketika sedang menggunakan mesin minuman manakala Zapata maut selepas cuba membantu kekasihnya itu. Polis masih menyiasat kes itu. McDonald Peru dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal dengan insiden itu. "Restoran akan ditutup selama dua hari di seluruh negeri bagi menghormati pemergian dua kakitangan kami," menurut kenyataan media yang dikeluarkan. Polis akan mengambil keterangan daripada pemilik dan pengurus restoran terbabit selain melakukan pemeriksaan terhadap kemudahan elektrik dan juga sistem keselamatan bagi mengelak insiden sama berulang. - Mirror.co.uk