suria

Terlalu malas nak buka jaket, lelaki ini masuk dalam mesin pengimbas

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki masuk ke mesin pengimbas keselamatan. -foto Youtube

SEORANG lelaki dari China masuk ke pengimbas bagasi di sebuah stesen kereta api gara-gara terlalu malas membuka jaket musim sejuknya ketika proses daftar masuk.

Ketika penumpang lain sibuk membuka jaket dan mengeluarkan barang tertentu untuk diimbas di Beijing West Railway Station, lelaki yang tidak dinamakan itu selamba merebahkan diri di atas mesin pengimbas seolah-olah dirinya adalah sebuah bagasi, memetik laporan AsiaOne.

Walaupun petugas menghentikan pergerakan mesin itu, lelaki itu merangkak keluar di bahagian hadapan mesin seolah-olah dia tidak melakukan kesalahan.

Dia kemudian ditahan oleh petugas keselamatan Beijing West Railway Station kerana tindakannya yang aneh dan arahan itu dikeluarkan oleh polis.

Lelaki ini ditahan polis selepas menjadinya dirinya 'bagasi'. -foto Youtube

Menurut laporan Shanghaiist pada Selasa lalu, rakaman CCTV menunjukkan lelaki itu tiba di lokasi pemeriksaan keselamatan dan bercakap dengan staf sebelum tiba-tiba menjatuhkan dirinya di atas mesin pengimbas.

Seorang pemeriksa berteriak kepadanya, tetapi dia menghiraukannya.

Pelaku kemudian membuat pengakuan dia tidak mahu bersusah-payah membuka jaket musim sejuknya yang berat dan mengosongkan poketnya.

Dia berfikir bahawa lebih mudah jika seluruh tubuhnya melewati mesin pengimbas itu.

Lelaki itu dan isterinya dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari bercuti. Mereka dilepaskan dengan amaran oleh polis.

Tidak jelas adakah penumpang itu perlu menjalani pemeriksaan di mesin pengimbas atau tidak. -AsiaOne

pengimbas, mesin, jaket, keselamatan

Artikel Lain