suria

Muncul cabaran lipstik, ramai bimbang wanita cuba jadi kurus kering

Trend baharu yang menunjukkan sebatang lipstik diimbangi pada tulang selangka. Foto Weibo

TANPA mengira saiz dan bentuk, masyarakat digalakkan untuk menghargai badan mereka sendiri.

Namun, timbul kebimbangan apabila masih ada segelintir masyarakat yang menganggap badan yang ideal adalah kurus.

Dan kebimbangan itu semakin berleluasa dengan trend terbaharu di media sosial iaitu cabaran lipstik.

Cabaran tersebut yang dikatakan dimulakan oleh penyanyi dan pelakon Chen Shu, menyaksikan kaum wanita cuba untuk mengimbangi sebatang lipstik di bahagian tulang selangka mereka berdekatan dengan leher.

Tindakan itu disifatkan Shu sebagai satu kemahiran.

Bagaimanapun, ramai yang melihat perkara itu sebagai satu bentuk body shaming, kerana lebih kurus seseorang itu, lebih luas tulang selangka mereka.

Keadaan itu membolehkan mereka menyempurnakan cabaran berkenaan.

Chen Shu, 43, berkongsi sebuah video mengenai dirinya yang menyempurnakan cabaran itu di laman sosial Weibo dan berkata: "Kemahiran baharu dicapai! Jom cuba cabaran baharu ini bersama saya."

Ia dikatakan trend terbaharu susulan satu cabaran pada 2015 yang menunjukkan wanita mengimbangi duit syiling pada tulang selangka mereka. - Mirror

Artikel Lain