suria

Lelaki dipenjara kerana buka bekas ais krim, jilat dan letak semula dalam peti sejuk pasar raya

Seorang lelaki dipenjara selama sebulan kerana berkelakuan tidak sopan di sebuah pasar raya. Foto JEFFERSON COUNTY SHERIFF'S OFFICE

SEORANG lelaki menerima padah apabila membuka bekas ais krim, menjilatnya dan meletakkannya kembali di dalam peti sejuk di sebuah pasar raya.

Disebabkan tindakan itu, dia disabitkan hukuman penjara selama sebulan.

D'Adrien Anderson dirakamkan selepas masuk ke kedai di Port Arthur di Texas, Amerika Syarikat, untuk melakukan gurauan atau prank tersebut.

Video itu kemudian dikongsi di media sosial pada Ogos tahun lepas, yang menyaksikan pemuda berusia 24 tahun itu beraksi di salah satu cawangan Walmart.

Rakaman CCTV dari dalam pasar raya menunjukkan Anderson mengambil ais krim itu keluar dari peti ais dan membelinya.

Menurut laporan ABC news, Anderson dan bapanya kemudian kembali ke kedai dan menunjukkan resit sebagai bukti pembelian bahawa dia telah membeli aiskrim yang tercemar.

Susulan kejadian itu, pembekal ais krim terpaksa menggantikan kesemua ais krim di dalam peti sejuk berkenaan sebagai langkah-langkah pencegahan.

Anderson mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dan dipenjarakan selama 30 hari.

Dia turut didenda AS$1,000 (RM4,199) dan diperintahkan membayar AS$1,565 (RM6,570) kepada pembekal ais krim.

Dia juga diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat tanpa gaji selama 100 jam. - Mirror


ais krim, peti sejuk, jilat, pasar raya

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan