RATU Elizabeth II akan berpindah ke Istana Windsor pada Khamis, untuk menyambut perayaan Easter, umum kenyataan yang dikeluarkan Istana Buckingham. 'Perpindahan' itu merupakan seminggu lebih awal daripada kebiasaannya sebelum ini. Ratu berusia 93 tahun itu lazimnya menghabiskan masa selama sebulan di istana itu ketika perayaan Easter sebelum pulang semula pada April. Namun difahamkan baginda mungkin akan menetap di istana itu lebih lama pada tahun ini gara-gara pandemik Covid-19 yang semakin meruncing di United Kingdom (UK). Dipercayai seramai 55,000 orang di UK berkemungkinan telah dijangkiti wabak berkenaan. Secara tradisinya, Ratu itu akan menganjurkan acara makan malam di istana untuk para tetamu yang terdiri daripada ahli politik dan tokoh masyarakat ketika perayaan Easter. Kenyataan dari Istana Buckingham berkata, bagaimanapun sebarang acara di istana akan diteliti semula selaras dengan nasihat yang disyorkan pada situasi semasa. Kenyataan itu merujuk kepada penyebaran wabak koronavirus, sambil menambah bahawa sebarang perubahan mengenai jadual Ratu itu dilakukan sebagai 'langkah berjaga-jaga yang wajar' dalam 'situasi semasa'. - Metro.co.uk