suria

Puluhan rakyat Malaysia dipercayai berada di Sulawesi hadiri Ijtima of Asia 2020

Perhimpunan Ijtima of Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia dibimbangi akan menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19. Foto kredit: Liputan6

BERPULUH-PULUH rakyat Malaysia dipercayai telah berada di Sulawesi, Indonesia bagi menghadiri acara Ijtima of Asia 2020 di negara tersebut.

Acara berkenaan dilaporkan bakal dihadiri ribuan jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata meskipun pihak kedutaan telah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

"Belum ada jumlah tepat rakyat Malaysia yang menghadiri acara itu, kami  sedang berusaha mengesan mereka yang terbabit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan notis konsular agar rakyat Malaysia yang berada di Indonesia mendaftar menerusi e-mel dengan kedutaan di [email protected] atau [email protected], dipercayai turut didaftar ialah beberapa individu yang menyertai acara itu.

Menurut sumber Bernama, sejumlah 83 rakyat Malaysia telah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan pihak berkuasa Indonesia tidak mengeluarkan sebarang surat keizinan (permit) untuk acara itu yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac, dan dalam proses berunding dengan pihak penganjur agar mereka bersurai.

Pada 27 Februari hingga 1 Mac lepas, dilaporkan lebih 10,000 orang menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang kemudian ada antara pesertanya didapati positif Covid-19 dan telah menyumbang kepada peningkatan kes itu di Malaysia.

Pada 14 Mac lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu notis konsular melarang rakyat Malaysia untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar di Indonesia susulan pandemik Covid-19, termasuk menghadiri acara perhimpunan itu.- BERNAMA

Artikel Lain