suria

Wuhan mahu lakukan ujian Covid-19 ke atas 11 juta rakyatnya... semua gara-gara wujud 6 kes baharu selepas lebih sebulan ‘bersih’

Wuhan adalah pusat penyebaran pertama wabak Covid-19. Foto: Getty Images

BANDAR Wuhan di China sedang menyusun rancangan untuk melakukan ujian wabak Covid-19 terhadap keseluruhan penduduknya yang berjumlah 11 juta orang, lapor media negeri.

Rancangan itu masih dalam peringkat awal, dengan setiap daerah di Wuhan diminta untuk menyerahkan perincian mengenai bagaimana ujian dapat dilakukan dalam masa 10 hari.

Cadangan terhadap rancangan ini timbul selepas Wuhan, pusat penyebaran pertama Covid-19, mencatat enam kes baru pada hujung minggu lalu.

Bandar itu sebelum ini tidak merekodkan kes baharu Covid-19 sejak 3 April.

Terdahulu, bandar itu melaksanakan perintah berkurung (lockdown) yang ketat selama 11 minggu, sebelum arahan tersebut ditarik semula pada 8 April.

Arahan penarikan lockdown itu menyaksikan sekolah dibuka semula, perniagaan perlahan-lahan muncul dan pengangkutan awam kembali beroperasi.

Namun kemunculan kes baharu - yang kesemuanya dari kawasan kejiranan yang sama - kini telah memberi kesan kepada arahan penarikan semula perintah berkurung itu.

Menurut laporan The Paper yang memetik dokumen dalaman yang diedarkan secara meluas itu, setiap daerah diminta untuk membuat rancangannya sendiri berdasarkan ukuran populasi dan kewujudan kes aktif di daerah tersebut.

Dokumen itu, yang dirujuk sebagai "pertempuran 10 hari" juga mengatakan bahawa orang tua dan masyarakat yang dari kawasan berkepadatan tinggi adalah diutamakan ketika membuat ujian.

Walau bagaimanapun, beberapa pegawai kesihatan kanan yang dipetik oleh akhbar Global Times menyifatkan bahawa rancangan itu sukar dilaksanakan dan melibatkan kos yang besar. - BBC.Com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Wuhan, Covid-19, ujian, lockdown

Artikel Lain