suria

Hanya batuk atau bersin, Covid-19 mungkin boleh dikesan menerusi sensor telefon pintar

Dikatakan seseorang yang menghidap Covid-19 akan boleh dikesan menerusi sensor pada telefon bimbit. Foto Daily Star

WABAK Covid-19 tidak lama lagi boleh dikesan menerusi batuk atau bersin pada telefon pintar.

Satu sensor yang disambungkan pada peranti itu berupaya untuk memaklumkan seseorang dijangkiti virus itu dalam tempoh hanya 60 saat.

Gajet tersebut pada awalnya dibangunkan untuk memerangi virus Zika yang disebabkan oleh nyamuk, sehingga mencetuskan kecemasan kesihatan global pada 2016 dan ia dikaitkan dengan kecacatan semasa kelahiran.

Ketua projek, Prof Massood Tabib-Azar, yang juga jurutera di Universiti Utah di Amerika Syarikat (AS) berkata: "Idea utama adalah untuk membolehkan orang mempunyai kelengkapan peribadi mereka sendiri untuk mengesan Zika di tempat-tempat yang mereka kunjungi.

"Sebaliknya, rancangan tersebut adalah memprogramnya untuk mengesan Covid-19," katanya.

"Jika seseorang bernafas, batuk, bersin atau menghembus pada sensor tersebut, ia akan dapat mengetahui samaa ada mereka menghidap Covid-19," tambahnya.

Diharapkan aplikasi tersebut boleh didapati dalam tempoh kurang tiga bulan.

Satu prototaip yang bersaiz kira-kira sekeping duit syiling, akan berkomunikasi dengan telefon pintar melalui teknologi tanpa wayar Bluetooth.

Pengguna yang memasang sensor ke port pengecasan telefon mereka dan perlu melancarkan aplikasinya, sebelum meletakkan sebilangan rembesan air liur ke atasnya.

Kemudian, pengguna perlu menunggu ia berubah warna sekiranya seseorang itu mempunyai virus tersebut.

Beliau turut berharap keputusan tersebut dapat dihantar kepada agensi kesihatan menerusi satu butang.

Aplikasi berkenaan dijangka untuk percubaan pada Julai depan, dan ia boleh didapati untuk pembelian pada Ogos sekiranya semua berjalan lancar. - Daily Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

bersin, batuk, telefon pintar, sensor, Covid-19,

Artikel Lain