SEORANG ibu kepada dua anak terpaksa hidup dalam keadaan usus tergantung pada abdomennya selepas terselamat daripada tragedi tembakan di sebuah kelab malam. Takieyah Reaves dari Newark, New Jersey, antara salah seorang mangsa yang terselamat selepas terkena dua das tembakan yang dilepaskan secara rambang ke arah pengunjung sebuah kelab malam. Tembakan tersebut mengenai perut dan kaki kanan wanita berusia 32 tahun itu. Salah satu peluru itu menyebabkan perutnya terburai. Malah doktor memberi amaran bahawa dia tidak mungkin dapat menjalani pembedahan intensif untuk memperbaiki bahagian dalaman perutnya yang rosak. Doktor bagaimanapun berjaya menyelamatkan nyawa Takieyah dan menjahit semula perutnya. Namun saiz luka di perutnya menyebabkan keadaan itu mustahil untuk ditutup sehingga sembuh. Ini bermakna Takieyah terpaksa hidup dalam keadaan tersebut dengan ramai beranggapan luka tersebut adalah baby bump. Ramai ingat dia sedang hamil kerana keadaan perutnya itu. "Luka itu akan ditampal dengan betul tetapi dibiarkan terbuka dan terdedah sejak insiden ngeri itu. Ia membesar dan ramai fikir saya hamil. "Mereka tanya jantina bayi yang sedang dikandung. Namun saya terpaksa menjelaskan perkara sebenarnya kepada mereka," katanya. Takieyah sudah menjalani tujuh pembedahan untuk mencantikkan semula lapisan perutnya itu. Namun keadaan luka dialaminya itu agak besar sehingga memerlukan masa tiga tahun untuk sembuh. Takieyah bagaimanapun sudah membuat tempahan untuk menjalani pembedahan bagi menutup dan mencantikkan kesan luka besar itu pada 23 Jun ini. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!