SEORANG bayi berusia 40 hari meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19. Bayi malang itu menerima jangkitan virus selepas dipeluk oleh jiran-jiran yang datang melawat bagi mengucapkan tahniah di atas kelahiran itu. Terdahulu, bayi tersebut dibawa ke Hospital Umum Smart Pamekasan di wilayah Jawa Timur di Indonesia, sebelum disahkan positif Covid-19 pada usianya baru 28 hari. Selepas dua minggu menjalani rawatan, bayi tersebut akhirnya meninggal dunia. Ketua pasukan petugas Covid-19 tempatan, Syaiful Hidayat berkata, pengesanan kontak mendapati bayi itu mendapat jangkitan daripada jiran-jirannya yang datang melawat selepas baru dilahirkan. Syaiful memberitahu, kebanyakan jiran memangku dan memeluk bayi baru lahir itu semasa kunjungan ke rumah. Bayi itu kemudian mula menunjukkan gejala virus seperti batuk, demam dan mengalami masalah pernafasan. Menurut laporan, ibu bapa bayi itu menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif. Menurut Hidayat, mereka mendapati penduduk setempat di daerah Tlanakan di kawasan bayi itu tinggal, mempunyai gejala termasuk disahkan positif Covid-19, tetapi tidak menjalani kuarantin sendiri. - Mirror Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!