suria

Letupan kuat gegarkan kota Beirut, 78 terbunuh manakala ribuan lagi cedera

Keadaan di sekitar kota itu selepas berlakunya letupan pada Selasa. Foto: STR/ AFP.

SATU letupan kuat menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa sehingga mengakibatkan 78 individu terbunuh manakala lebih 4,000 cedera.

Menurut Perdana Menteri, Hassan Diab, pihak yang menjadi dalang di sebalik letupan itu akan diburu sehingga ke lubang cacing.

"Sesiapa yang terlibat akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku," ujarnya menerusi siaran televisyen.

Sehingga kini, punca letupan masih menjadi tanda tanya.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab.

Namun, pihak berkuasa percaya ia mempunyai kaitan dengan bahan letupan yang dirampas dan disimpan dalam sebuah gudang selama bertahun lamanya.

Menurut Diab lagi, gudang tersebut sudah wujud sejak enam tahun lalu, pada 2014.

Malah, dia turut memohon bantuan global memandangkan Lubnan sendiri sedang berhadapan krisis ekonomi dan penularan pandemik Covid-19.

"Saya memohon dengan segera kepada rakan-rakan negara kami, saudara yang menyayangi Lubnan, untuk berdiri bersama kami dan membantu mengubati luka yang dalam ini," ujarnya lagi.

Kesan kemusnahan akibat letupan itu. (Getty Images)

Dalam pada itu, letupan pada pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) memusnahkan pelabuhan dan bangunan di sekitar kota itu.

Malah, kepulan asap tebal juga jelas kelihatan menjulang ke udara.

Orang ramai juga dilaporkan bertempiaran lari dalam keadaan cemas sehingga menimbulkan kekecohan di sekitar jalan di kota itu.

Hospital di Beirut juga dilaporkan penuh melebihi kapasiti asal. - Al Jazeera/The Guardian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Beirut, Lubnan, letupan, gudang, pelabuhan

Artikel Lain