suria

'Dihenyak' selama 6 minit atas jalan tar panas oleh polis, lelaki disyaki curi minuman disahkan mati sebaik tiba di hospital

Kelihatan beberapa anggota polis 'menghenyak' Ramon di atas jalan tar yang panas. Foto: Phoenix Police Department

SEORANG lelaki meninggal dunia selepas badannya dihenyakkan ke jalan tar yang panas selama kira-kira enam minit oleh beberapa anggota polis yang menahannya.

Ramon Timothy Lopez, 28, disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital selepas ditangkap di Phoenix, Arizona pada 4 Ogos lalu.

Rakaman video penangkapannya sehingga saat-saat dia menghembuskan nafas terakhir, dikeluarkan oleh polis.

Pegawai polis mengejar Lopez selepas dia disyaki mencuri minuman dari sebuah kedai.

Adegan kejar-mengejar itu berakhir apabila Lopez berjaya diberkas dan 'ditumbangkan' ke atas jalan tar, di mana cuaca pada ketika itu dilaporkan bersuhu 38 darjah Celsius.

Ketika berada di dalam kereta peronda, Lopez tidak memberikan sebarang reaksi, lalu pegawai polis terus membawanya ke hospital sebelum dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sarjan Mercedes Fortune dari Jabatan Polis Phoenix berkata: "Kesimpulan mengenai sama ada tindakan pegawai polis itu selaras dengan dasar jabatan dan undang-undang tidak akan dibuat sehingga semua fakta diketahui dan siasatan selesai"

Pihak berkuasa telah melancarkan dua siasatan berasingan mengenai kematian Lopez.

Punca kematian lelaki itu bagaimanapun masih belum dapat dipastikan. - Metro.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain