SEORANG pensyarah sebuah kolej di Argentina yang mengalami simptom Covid-19 berpanjangan, meninggal dunia ketika sedang mengadakan kuliah secara maya di hadapan pelajarnya, menurut laporan. Paola De Simone, 46, yang mengajar subjek Sejarah Dunia di Universidad Argentina de la Empresa di Buenos Aires, mengadu bahawa dia mengalami kesukaran bernafas semasa sesi Zoom, minggu lalu. Pelajarnya yang cemas meminta alamat rumahnya agar mereka dapat memberikan bantuan, namun penyarah berkenaan sempat berkata 'Saya tak boleh....' sebelum tiba-tiba rebah. Suami De Simone yang juga seorang doktor, menemui isterinya dalam keadaan tidak bernyawa ketika tiba di rumah. Sebelum ini menerusi kemas kini ciapan di Twitter, De Simone ada menulis mengenai keadaan kesihatannya dan juga tugas suaminya di kala penularan wabak maut tersebut. "Ini sangat rumit. Saya dalam keadaan ini (tidak sihat) lebih dari empat minggu dan gejalanya tidak hilang," tulis De Simone. Salah seorang pelajarnya, Ana Breccia, 23, mengimbas kembali saat-saat terakhir pensyarah berkenaan. "Dia bermula dengan mengatakan bahawa dia menderita radang paru-paru, kami lihat keadaan lebih buruk daripada kuliah sebelumnya. "Pada satu ketika dia tidak dapat mengalih slaid pengajaran atau berbicara, dan dia menjadi tidak seimbang," katanya. Universiti dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian De Simone memberi kesan mendalam kepada seluruh warga institusi. "De Simone adalah seorang pensyarah yang bersemangat dan berdedikasi, seorang yang hebat, dengan pengalaman lebih dari lima belas tahun," demikian kenyataan universiti tersebut. - NYPost.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!