suria

Bengang kerana terlalu lama menunggu, wanita saman teman lelaki tak tunai janji untuk berkahwin

Seorang wanita di Zambia menyaman teman lelakinya kerana tidak mengotakan janji untuk mengahwininya. Gambar hiasan. Foto: Getty Images

SEORANG wanita dari Zambia menyaman teman lelakinya kerana tidak mengotakan janji untuk mengahwiniya meskipun mereka sudah lama berpacaran.

Gertrude Ngoma telah menjalin hubungan bersama Herbert Salaliki selama lapan tahun dan mendakwa lelaki itu telah berjanji untuk mengahwininya.

Bagaimanapun Ngoma mendakwa Salaliki tidak mengotakan janjinya, di mana wanita itu kemudian 'mengheret' teman lelakinya ke mahkamah.

Wanita berusia 28 tahun itu memberitahu mahkamah Zambia bahawa dia menganggap Salaliki tidak serius mengenai hubungan mereka, lapor Tuko.

"Dia tidak pernah serius, itu sebabnya saya membawanya ke mahkamah kerana saya layak mengetahui rancangannya untuk masa depan kami," kata Ngoma.

Pasangan ini mempunyai anak bersama dan Salaliki telah mengatur pembayaran mas kahwin sebagaimana tradisi komuniti mereka.

Dalam kenyataannya ketika di mahkamah, Salaliki memberitahu dia tidak mempunyai wang tunai untuk melangsungkan majlis perkahwinan, selain mendakwa teman wanitanya itu tidak memberikan perhatian selayaknya.

Perkara berkenaan menjadi alasan mengapa dia masih belum mengahwini teman wanitanya, kata Salaliki.

Oleh kerana pasangan itu masih belum berkahwin, mahkamah tidak dapat membuat pengadilan, sebaliknya hakim mengesyorkan mereka berdamai dan menyelesaikan masalah di luar mahkamah. - Dailystar

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain