suria

Selfie terakhir sebelum suami sengaja tolak isteri hamil jatuh tebing, niat membunuh demi tuntut insurans hampir RM230 ribu

Selfie terakhir sebelum Semra maut gara-gara ditolak oleh suaminya dari tebing. Foto: Newsflash

SEORANG suami sempat mengambil gambar swafoto bersama isterinya sebelum dia didakwa sengaja menolak wanita itu terjatuh dari tebing, dalam usaha mahu menuntut wang insurans kematiannya.

Hakan Aysal, 40, dituduh menolak isterinya Semra Aysal, 32, dari tebing ketika bercuti di Butterfly Valley, tenggara Turki, pada Jun 2018.

Semra bersama bayi yang berusia tujuh bulan dalam kandungannya, maut selepas terjatuh dari ketinggian hampir 1,000 kaki.

Foto terakhir pasangan tersebut menunjukkan mereka tersenyum di puncak tebing, beberapa saat sebelum tragedi yang didakwa Aysal sebagai kemalangan.

Bagaimanapun pendakwaraya mendakwa Aysal merancang pembunuhan itu untuk menuntut insurans kemalangan diri yang diambil atas nama isterinya sebelum kematiannya, bernilai hampir £41,000 (RM229,466).

Pendakwaraya turut mendakwa satu-satunya alasan pasangan itu duduk di atas tebing selama tiga jam adalah kerana Aysal mahu memastikan bahawa tidak ada pengunjung lain yang berada di sekitar ketika dia mahu menjalankan 'rancangannya'.

Sebaik sahaja menyedari mereka bersendirian, dia sengaja membunuh Semra dengan menolaknya dari tebing.

Aysal diberkas pada November tahun lalu kerana merancang pembunuhan isterinya. Perbicaraan bersambung kemudian. - Metro.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain