TINDAKAN seorang wanita yang menipu suaminya kononnya dia mengandung anak kembar, akhirnya menjerat diri selepas pembohongannya terbongkar. Laura Daudov pada mulanya memberitahu suaminya, Daud, bahawa ujian kehamilan yang dilakukannya menunjukkan keputusan positif. Melihat reaksi suaminya yang terlalu gembira dengan 'berita kehamilan' tersebut, wanita berkenaan tidak sampai hati untuk menceritakan perkara sebenarnya dan memutuskan untuk meneruskan penipuannya. "Saya melihat betapa gembiranya dia ketika saya memberitahunya bahawa saya hamil. Saya tidak mahu mengecewakannya, oleh itu memutuskan untuk berbohong kepadanya dan saudara-mara kami dengan memalsukan kehamilan," kata Laura. Wanita itu mendakwa dia melahirkan bayi kembar pada 3 Februari tetapi kemudiannya mengatakan mereka meninggal dunia akibat komplikasi. Daud mahu mengebumikan mayat bayi-bayinya di tanah perkuburan keluarganya di Dagestan. Ketika di majlis pengebumian, sepupu Daud mencadangkan agar mereka membuka kain kafan untuk menatap wajah 'bayi kembar' tersebut buat kali terakhir sebelum disemadikan. Ketika itulah Daud mendapati bahawa mayat yang dikafankan tersebut bukanlah bayi sebaliknya anak patung. Kisah penipuan wanita berkenaan bukan sahaja mengejutkan keluar, malah menjadi tajuk utama berita di Rusia. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!