SEORANG pengusaha makanan ringan dari Israel, Dror Tamir cuba membawa kelainan dalam produk makanan di negara itu dengan memperkenalkan snek berasaskan serangga iaitu belalang. Tamir yang juga mengusahakan ternakan belalang memberitahu, sejak kecil dia sudah menggemari serangga itu selepas mendengar cerita dari neneknya yang merupakan tukang masak di Kibbutz, Israel. Jelasnya, dia diberitahu bahawa sebelum ini orang Yahudi Yaman dan Maghribi memakan belalang ketika Israel menderita kekurangan sumber makanan selain diserang sekawanan belalang yang terbang dari Afrika dan memusnahkan tanaman pada tahun 1950. "Belalang boleh disamakan seperti pecan, cendawan, kopi dan coklat, ia boleh diolah dengan pelbagai perisa berbeza sama seperti gula-gula. "Kami menghasilkan pelbagai produk termasuk gummies yang dihasilkan daripada bahan asas belalang," katanya. Jelasnya lagi, serangga juga telah lama dimakan oleh masyarakat di seluruh Afrika, Asia, Amerika Tengah dan Timur Tengah. Dia juga memberitahu bahawa syarikatnya akan memperkenalkan pelbagai produk lain seperti bar tenaga, burger dan bola falafel berasaskan belalang. Tamir juga yakin bahawa manfaat alam sekitar dan kesihatan cukup menjadi alasan untuk menjadikan serangga sebagai makanan. Katanya lagi, dia juga menternak belalang itu di sebuah premis berkuasa solar tertutup di utara Israel. "Spesies utama yang kami ternak adalah belalang gurun dan cengkerik semak atau nsenene. "Kami dapat membiakkan 400 juta belalang setahun di premis kami," ujarnya. Tambahnya lagi, serangga hanya memerlukan 29 hari untuk membesar dan matang. Tamir juga memberitahu bahawa belalang adalah halal sekali gus boleh dimakan oleh Muslim.— Agensi Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI