suria

Polis berang penumpang lain tidak bantu selamatkan wanita daripada dirogol di atas kereta api

Seorang wanita dirogol ketika berada di dalam sebuah kereta api yang dipenuhi penumpang lain. (Gambar File)

SEORANG wanita dilaporkan menjadi mangsa dirogol ketika berada di dalam sebuah kereta api yang dipenuhi penumpang lain.

Superintendan Timothy Bernhardt dari Jabatan Polis Upper Darby berkata, pegawai dipanggil ke terminal 69th Street sekitar jam 10 malam Rabu selepas menerima laporan mengenai serangan tersebut yang berlaku di dalam sebuah kereta api yang sedang menuju ke arah barat di Market-Frankford Line.

Seorang pekerja daripada Lembaga Pengangkutan Southeastern Pennsylvania yang ternampak kejadian tersebut sewaktu kereta api melintas dihadapannya, menelefon polis dan memberitahu bahawa "ada sesuatu yang tidak betul" sedang berlaku kepada seorang wanita di dalam kereta api, kata Bernhardt.

Polis SEPTA yang menunggu di perhentian seterusnya menemui mangsa dan berjaya menahan seorang lelaki.

Wanita itu kemudiannya dibawa ke hospital.

Bernhardt berkata, mangsa seorang "wanita yang sangat kuat" dan dia mampu memberikan banyak maklumat kepada polis.

Dia mendakwa tidak mengenali penyerangnya, katanya.

Kejadian terbabit dirakam kamera litar tertutup di kawasan terbabit yang menunjukkan kehadiran orang lain di dalam kereta api tersebut semasa serangan tersebut berlaku.

"Ada banyak orang, pada pendapat saya, mereka seharusnya campur tangan, seseorang sepatutnya melakukan sesuatu.

"Ini menunjukkan sikap masyarakat sekarang, maksud saya, siapa akan biarkan sesuatu seperti ini berlaku? Ini sangat membimbangkan," kata Bernhardt.

Suspek, Fiston Ngoy, 35, dituduh merogol, melakukan serangan tidak senonoh dan tuduhan lain yang berkaitan, menurut catatan dari mahkamah Delaware County.

Menurut Bernhardt, Ngoy sememangnya dikenali dalam kalangan polis SEPTA dan Upper Darby.

SEPTA mengeluarkan satu kenyataan dengan tajuk "tindakan jenayah yang mengerikan" serta meminta orang ramai yang menyaksikan serangan tersebut berlaku untuk tampil memberikan maklumat.

"Ada orang lain di dalam kereta api serta menyaksikan tindakan mengerikan ini, dan mungkin ia boleh dihalang lebih awal jika penunggang menelefon talian 911," kata pihak berkuasa. - AP

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain