suria

Warga emas parah dilanggar penghantar makanan yang menggunakan e-skuter sambil bermain telefon

Tian Wei Jie didakwa kerana menyebabkan kecederaan pada dua warga emas.

SEORANG penghantar makanan yang menggunakan e-skuter sambil bermain telefon terlanggar seorang warga emas di Singapura sehingga mengakibatkan kecederaan parah.

Selepas didakwa dan diikat jamin, e-skuter Tian Wei Jie dirampas namun dia kemudiannya menggunakan basikal elektrik di atas laluan pejalan kaki ketika berada dalam keadaan mabuk.

Dia kemudiannya melanggar seorang warga emas dan menyerangnya.

Tian, ​​35, mengaku bersalah pada Isnin atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan parah melalui perbuatan terburu-buru kepada seorang lelaki berusia 77 tahun, membahayakan keselamatan diri seorang lelaki warga emas kedua, 60, melalui perbuatan terburu-buru, secara sukarela menyebabkan kecederaan kepada lelaki berusia 60 tahun itu dengan menumbuknya selepas melanggar lelaki tersebut, dan menunggang e-skuter di laluan pejalan kaki, melanggar Akta Mobiliti Aktif 2017.

Tian akan dijatuhkan hukuman pada hari Selasa.

Pada 7 Julai 2019, Tian menunggang e-skuternya di laluan pejalan kaki sambil bermain telefon sebelum merempuh seorang warga emas dan menyebabkan lelaki tersebut jatuh dan mengalami pendarahan otak.

Mangsa telah dimasukkan ke wad selama 102 hari dan diberi cuti kemasukan ke hospital selama 70 hari.

Dia tidak dapat meneruskan aktiviti biasa selama 20 hari, dan keluarganya menanggung $46,557.01 dalam perbelanjaan perubatan. Ini dilindungi sepenuhnya oleh Medishield dan Medisave mangsa, dan pembayaran insurans.

Anak perempuan mangsa membuat laporan polis sehari selepas kemalangan itu.

E-skuter Tian telah disita pada 20 Ogos 2019, manakala Tian ditahan pada 7 April tahun lepas.

Selepas dibebaskan dengan ikat jamin, Tian mula bekerja dengan GrabFood sebagai rider penghantar makanan menggunakan basikal elektrik.

Pada 7 Mac tahun ini, Tian yang baru sudah minum bersama rakannya terlanggar seorang lagi warga emas.

Dia kemudiannya melemparkan kata-kata kesat dalam bahasa Mandarin kepada lelaki itu.

Mangsa mendapati Tian berbau alkohol.

Apabila dia memberitahu Tian supaya tidak menunggang dengan cara yang berbahaya, Tian menyerang mangsa.

Dia menolak mangsa ke tanah dan menumbuknya beberapa kali.

Semasa pergelutan itu, mangsa turut menumbuk Tian, ​​dan isterinya memukul Tian dengan payung.

Orang yang lalu lalang kemudian campur tangan dan apabila Tian melihat orang ramai, dia mengambil basikal elektriknya dan melarikan diri.

Mangsa mengalami kesan melecet dan lebam. - Yahoo News Singapore

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain