suria

Letusan Semeru : Pihak berkuasa terpaksa gali mayat dengan tangan

Penduduk menyelamatkan diri.

EMPAT belas orang maut disebabkan letusan gunung berapi Semeru.

Media melaporkan bahawa puluhan lagi turut cedera.

Seorang sukarelawan di daerah Lumajang melihat pegawai polis dan tentera terpaksa menggali mayat denganhanya menggunakan tangan mereka.

Rumah dikatakan tertimbus dengan abu sehingga ke paras bumbung manakala kenderaan tenggelam sepenuhnya.

Taufiq Ismail Marzuqi, yang melihat pihak berkuasa menggali mayat, memberitahu Reuters usaha menyelamat "sangat mengerikan".

Sekurang-kurangnya 11 kampung di Lumajang, di Jawa Timur, disalut abu gunung berapi.

Sekurang-kurangnya 56 orang telah cedera, ramai yang melecur kerana mereka menyangkakan aliran lumpur panas adalah air banjir.

“Terdapat 10 orang hanyut dibawa arus lumpur,” kata Salim yang tinggal di kampung Kampung Renteng.

"Salah seorang daripada mereka hampir diselamatkan. Dia disuruh melarikan diri tetapi berkata 'Saya tidak boleh, siapa yang akan menjaga lembu saya?'"

Seorang lelaki yang mencari mangsa yang terselamat berkata 10 orang hilang di kampungnya.

"Penduduk tempatan di sini menyangka ia hanya banjir biasa. Kami tidak tahu ia adalah lumpur panas. Tiba-tiba, langit menjadi gelap apabila hujan dan asap panas datang. Syukur, hujan turun sehingga kami boleh bernafas," katanya kepada AFP.

Beberapa saudara mangsa di Lumajang di Jawa Timur berkata mereka masih belum menuntut jenazah orang tersayang kerana sebahagian mayat masih belum dikenal pasti.

Jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia (BNPB) berkata mangsa yang cedera sedang dirawat di pelbagai hospital dan kemudahan perubatan.

Kira-kira 1,300 orang telah dipindahkan dari kawasan itu setakat ini, kata agensi itu, dan 10 pekerja lombong pasir yang terperangkap dalam bangunan telah diselamatkan.

Pemindahan terhalang disebabkan asap tebal, bekalan elektrik terputus, dan hujan ribut.

Sebuah jambatan penting dari kawasan itu ke bandar berhampiran, Malang, turut terputus semasa letusan itu. - BBC

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain