SELAMA dua hari atau mungkin lebih lama lagi, penduduk di sebuah kejiranan di Amerika Syarikat menunggu dengan hati yang berdebar-debar akan nasib seekor kucing hitam diberi nama Panther, yang bertenggek di atas tiang lampu setinggi 11 meter. Panther tidak berganjak meskipun pelbagai ikhtiar dibuat pemiliknya, Alexis Soberanis dan penduduk lain untuk memujuknya turun dari tiang di Aurora, Colorado itu. Meski dipujuk dan diumpan dengan makanan, semuanya tidak berhasil. Kucing itu dilaporkan hilang awal minggu lalu dan pertama kali dilihat di atas tiang itu pada Rabu (8 Dis). "Semua orang kata, 'Letak saja makanan dan lama-kelamaan ia akan turun," kata seorang penduduk Aurora, Jessica Meadows pada pagi Jumaat. Walaupun salji mula turun kucing tersebut masih tetap turun. Meadows berkata dia dan jiran tetangga lain menghubungi syarikat kawalan haiwan Aurora dan Xcel Energy untuk mendapatkan bantuan. "Semua orang kata mereka tidak dapat buat apa-apa," kata Meadows. Amalan biasa, menurut sebuah lagi syarikat perbekalan awam, adalah memberi masa kepada kucing untuk turun sendiri, lapor Sentinel Colorado. Khabar tentang nasib Panther akhirnya sampai di telinga anggota Majlis Bandaran Aurora, Curtis Gardner dan pegawai bandar segera mengerahkan lori dengan tangga pada Jumaat petang. Anggota bomba kemudian berjaya menyelamatkan kucing berkenaan yang tidak sabar-sabar untuk memasuki beg pengangkut haiwan. Kimberly Medina, seorang lagi pemilik Panther, berkata kucing itu sebelum ini sering dibiarkan keluar rumah begitu saja. Namun dia sudah serik selepas kejadian tersebut. "Tidak boleh lagi, walaupun hanya sekali." - The Denver PostDapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI