SEORANG jurulatih di sebuah gimnasium memasuki tandas wanita dan merakam video seorang wanita sedang mandi selepas wanita tersebut selesai menjalani sesi kecergasan dengannya. Mangsa yang berusia 40 tahun itu ternampak telefon bimbit lalu menjerit dan bersemuka dengan lelaki berkenaan sebelum menghubungi polis apabila berada di tempat yang selamat. Lelaki yang berusia 30 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama empat minggu pada Isnin (13 Dis). Dia mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh dan menghina kehormatan seorang wanita, manakala tuduhan ketiga turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman. Arahan mahkamah dikeluarkan bagi melindungi identiti mangsa. Mangsa mengunjungi gim berkenaan pada 7 Okt 2019 untuk bersenam. Selepas selesai bersenam, mangsa memasuki tandas wanita untuk mandi dan ketika dia sedang membersihkan diri tertuduh memasuki bilik mandi bersebelahan lalu meletakkan telefonnya di atas bilik mandi dan merakam wanita tersebut. Mangsa ternampak telefon itu lalu menjerit. Dia kemudiannya melilitkan tuala pada badannya sebelum keluar untuk memeriksa bilik mandi sebelah, sebelum dia ternampak tertuduh. Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara selama empat minggu. Menurut pihak pendakwa, lelaki tersebut pernah didenda pada 2016 atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan dihukum penjara pada 2017 atas kesalahan melibatkan pemalsuan dan memberikan keterangan palsu dengan niat untuk memastikan agar seorang pegawai awam menggunakan bidang kuasanya ke atas orang lain. - Beritamediacorp Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI