SEBUAH pembekal akuarium terkemuka di Perancis membuat keputusan untuk berhenti menjual akuarium ikan berbentuk mangkuk kerana ia membuat ikan menjadi gila dan mati dengan cepat. Firma jagaan haiwan peliharaan Perancis, AgroBiothers Laboratoire, tidak akan lagi menjual sebarang akuarium dengan kapasiti kurang 15 liter dan hanya akan menjual akuarium berbentuk empat segi. Ini kerana apabila ikan-ikan diletak di dalam mangkuk-mangkuk yang kecil tanpa penurasan dan sistem oksigen, akan terseksa kata firma tersebut. "Orang ramai membeli ikan emas untuk anak-anak mereka mengikut gerak hati, tetapi jika mereka tahu mereka sedang menyeksa ikan itu, mereka tidak akan melakukannya. "Berpusing-pusing di dalam mangkuk kecil membuat ikan menjadi gila dan mati dengan cepat," Ketua Pegawai Eksekutif AgroBiothers Matthieu Lambeaux memberitahu Reuters. Ikan emas boleh hidup sehingga 30 tahun dan membesar sehingga sekitar 25 sentimeter dalam akuarium besar ataupun kolam-kolam di luar rumah. Namun, dalam mangkuk kecil, secara lazimnya, mereka mati dalam tempoh beberapa minggu atau bulan. Ikan emas ialah haiwan sosial yang perlu ditemani ikan-ikan lain, berada di ruang yang besar dan air yang bersih, menurut Matthieu. Jerman dan beberapa negara Eropah sudah lama melarang akuarium ikan berbentuk mangkuk. - REUTERS Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI