suria

Lelaki dipenjara 6 minggu selepas rakam, selongkar pakaian mahasiswa... tenang tengok seluar pendek wanita

Poh Wee Lee,33 mengaku bersalah mengintai dan menceroboh.

SEORANG lelaki yang merakam seorang mahasiswa dan ditangkap ketika menggeledah pakaian mangsa, dijatuhkan hukuman penjara enam minggu dan denda S$1,000 (lebih RM3000) pada Jumaat (28 Jan).

Poh Wee Lee,33 mengaku bersalah atas satu tuduhan mengintai dan satu tuduhan menceroboh.

Satu lagi tuduhan memiliki filem lucah turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Sekitar pukul 1.30 pagi pada 9 Oktober 2021, Poh ditangkap ketika menyelongkar pakaian mahasiswi berkenaan di sebuah asrama di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Dia menceroboh masuk bilik mencuci pakaian melalui pintu yang dibiarkan terbuka.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Pavithra Ramkumar memberitahu mahkamah tahun lalu bahawa: “Tertuduh berasa tertekan dan menyangka dia boleh menenangkan fikiran dengan melihat seluar pendek wanita, terutamanya seluar pendek yang menjolok mata atau berwarna-warni. Tertuduh terlihat beberapa pasang seluar pendek wanita di dalam mesin basuh dan mula meyelongkar pakaian untuk membelek-beleknya.”

Poh ditangkap oleh seorang mahasiswi berumur 22 tahun dan dia ditahan oleh dua rakan lelaki gadis itu ketika dia cuba melarikan diri.

Sebelum insiden, Poh ternampak seorang mahasiswi berusia 20 tahun yang sedang menukar pakaian di dalam biliknya di sebuah asrama NTU pada 15 September tahun lalu.

Poh kemudian menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam video wanita berkenaan.

Dia memindahkan klip video tersebut ke dalam sebuah fail yang dinamakan sebagai "video Facebook" di dalam telefon bimbitnya untuk menyorokkannya.

Hukuman dijatuhkan terhadap Poh selepas penilaian yang diarahkan oleh mahkamah tahun lalu mendapati dia tidak sesuai untuk menjalani perintah rawatan wajib.

Perintah tersebut adalah pilihan hukuman berasaskan masyarakat, yang ditawarkan kepada pesalah yang mengalami masalah mental yang menyumbang kepada jenayahnya.

Pada Jumaat, DPP Pavitra mengulangi permintaan pihak pendakwaan untuk hukuman penjara sekurang-kurangnya enam hingga lapan minggu selepas melihat laporan penilaian itu.

Meskipun laporan itu menunjukkan bahawa Poh tidak mengalami masalah mental ketika kesalahan dilakukan, dia kemudian didiagnosis dengan gangguan penyesuaian dan menyimpan fikiran untuk bunuh diri, kata peguam bela Jared Chen dari Drew and Napier.

Sesiapa yang didapati bersalah dengan penyakit suka mengintai boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau dikenakan mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Mereka yang didapati bersalah atas tuduhan menceroboh pula boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda tidak melebihi S$1,500 atau kedua-duanya sekali. - BeritaMediacorp

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain