suria

Polis dedah rakaman suspek rogol dukung mangsanya dan berjalan dalam bandar sebelum serangan dilakukan

Osayande didakwa merogol dan melakukan serangan seksual terhadap dua orang wanita.

POLIS mendedahkan rakaman litar tertutup (CCTV) yang merakamkan detik seorang perogol membawa mangsanya melalui pusat bandar pada waktu awal, sejurus sebelum serangan seks dilakukan.

Rakaman itu menunjukkan Austin Osayande, 40, membawa seorang wanita berusia 24 tahun melalui jalan lengang di Leeds pada 14 Ogos 2015.

Mangsa sedang berjalan kaki untuk mendapatkan teksi kerana ingin pulang apabila Osayande menghampirinya kira-kira jam 5 pagi.

Dia berbual dengannya dan berjalan di sampingnya sebelum mengangkatnya dan membawanya ke tempat yang tidak jauh dari situ sebelum merogol mangsa, kata Polis West Yorkshire.

Memakai kot hitam panjang dengan seluar hitam, serta berkepala botak, suspek dilihat dalam rakaman CCTV sebelum ini berlegar-legar di tempat letak kereta dan menghampiri seorang wanita lain di jalanan.

Rakaman mengejutkan itu didedahkan oleh detektif yang menyiasat kes rogol itu pada 2015.

Suspek ditangkap pada September tahun lalu apabila dia melakukan satu lagi serangan seksual.

Osayande menghadapi perbicaraan selepas didakwa merogol pada 2015 dan serangan seksual terhadap seorang wanita di bandar itu pada 10 September tahun lalu.

Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual di Mahkamah Leeds Crown pada Khamis.

Dia direman sebelum perbicaraan hukumannya pada 23 Februari. - Yahoo News UK

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain