SEORANG influencer media sosial telah menyaman polis sebanyak $30 juta (RM125.8 juta) kerana menggunakan gambar seksinya pada poster untuk mengesan suspek kes rompakan. Eva Lopez menyaman Jabatan Polis New York (NYPD) selepas mereka menggunakan gambarnya pada poster, sedangkan individu yang sedang diburu adalah seorang pekerja seks. Wanita berusia 31 tahun itu mendapat tahu dirinya 'dikehendaki' polis pada 16 Ogos tahun lalu, selepas seorang rakan memamklumkan kepadanya menerusi mesej. Lopez, dari New York, Amerika Syarikat, mengabaikan perkara tersebut sehingga majikannya meyakinkannya dan mendesaknya untuk menghubungi polis. Wanita itu kemudian menghubungi polis memaklumkan kesilapan poster tersebut, dan detektif kemudian memberitahu bahawa poster wajahnya telah pun diturunkan dari halaman Facebook polis New York dan laman web lain, kerana suspek sebenar mempunyai tatu lengan. "Ia sudah tersebar di media sosial. Ia masih dihebohkan, masih diperkatakan, masih menjadikan saya seperti pencuri dan pelacur," katanya yang bertegas mahu meneruskan tindakan undang-undang kerana kesilapan berkenaan. Lopez yang bekerja sebagai pelayan bar juga terpaksa menggunakan media sosialnya untuk membuat penafian kerana ia menjejaskan maruah serta reputasinya. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI