suria

Mengaku dengar bisikan ghaib... ibu bunuh anak usia 7 tahun, dua lagi dikejarkan ke hospital

Suspek (dua, kanan) ditahan polis susulan kejadian. foto Kompas.com/ Tresno Setiadi

SEORANG ibu berusia 37 tahun di Dusun Sokawera, Kecamatan Tonjong di Brebes, Indonesia memukul tiga anaknya menggunakan senjata tajam, pada Ahad.

Susulan kejadian itu, dua anaknya berusia empat dan lima tahun dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah di leher dan dada.

Sementara itu, anak kedua suspek berusia tujuh tahun, meninggal dunia akibat kecederaan di leher.

Jiran suspek, Novi berkata, salah seorang daripada ahli keluarganya menjerit meminta tolong selepas solat subuh.

"Penduduk kemudian memecahkan pintu bilik dan mendapati tiga mangsa cedera parah," kata Novi kepada pemberita, pada Ahad.

Seorang lagi saksi, Iwan, mengesahkan kejadian itu berlaku selepas solat Subuh.

"Saya dengar berlaku kekecohan dan kanak-kanak itu menjerit. Saya dan penduduk kemudian pergi ke rumahnya dan memecahkan pintu bilik," katanya.

Sementara itu, ketua RT tempatan, Heru Prasetio berkata, suspek dikenali sebagai pendiam.

"Sebenarnya penduduk setempat amat terkejut kerana tiada tanda-tanda perkara seperti ini akan berlaku. Dan dia juga dikenali sebagai seorang yang pendiam," katanya.

Menurut beliau, ketika kejadian suami suspek bertugas di luar kawasan, manakala suspek merupakan pakar solekan pengantin dan rawatan penjagaan badan serta muka.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Brebes, AKP Syuaib Abdullah pula berkata, kedua-dua mangsa kini dirujuk ke Hospital Margono, Purwokerto.

Polis masih menjalankan siasatan dan mendapatkan keterangan daripada suspek.

Polis juga masih belum mengesahkan keadaan mental suspek.

Bagaimanapun, suspek mengakui melakukan demikian ke atas kesemua anaknya selepas mendengar bisikan ghaib.

"Kami tidak dapat mengesahkan sama ada pelaku tertekan atau tidak kerana ia masih dalam proses siasatan.

"Berdasarkan pengakuan suspek, dia melakukan perkara itu kerana menerima bisikan ghaib," jelasnya. - Kompas

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain