suria

Hilang dalam hutan Amazon, 2 budak lelaki hanya minum air hujan... berjaya ditemui sebulan kemudian

Mereka ditemui dalam keadaan menyedihkan apabila dipenuhi dengan kesan melecet pada kulit. Foto: Getty Images/FG Trade

HUTAN Amazon sangat luas dan subur.

Biasanya apa sahaja yang hilang di sana dan pasti tidak akan ditemui kembali.

Namun, lain pula ceritanya melibatkan dua budak lelaki ini yang hilang selama sebulan dalam hutan itu.

Tuah menyebelahi Lauco dan Gleison Ferreira, masing-masing berusia lapan dan enam tahun apabila mereka ditemui semula selepas hilang selama sebulan.

Mereka sesat ketika cuba menangkap burung kecil di hutan berhampiran Manicore pada 18 Februari lalu.

Tanpa disedari, mereka telah masuk jauh ke dalam hutan belantara dan tersesat.

Ibu bapa mereka membuat laporan kehilangan itu sebelum pencarian dengan bantuan ratusan penduduk tempatan dijalankan selama beberapa minggu.

Kerana tidak dapat menemui dua budak itu, penyelamat tempatan memutuskan untuk menghentikan pencarian pada 24 Februari.

Bagaimanapun, penduduk tempatan tidak berputus asa dan masih mencari sehingga seorang penebang kayu terdengar jeritan meminta tolong.

Rupa-rupanya dua budak lelaki itu mendengar bunyi pokok yang ditebang dan memutuskan untuk menjerit.

Dua beranak itu telah sampai sejauh 6 kilometer (km) dari tempat tinggal mereka iaitu Kampung Palmeira, Kawasan Simpanan Semula Jadi Lago Capana.

Mereka ditemui dalam keadaan menyedihkan apabila dipenuhi dengan kesan melecet pada kulit.

Glauco dan Gleison kemudian dibawa ke hospital besar daerah di Manicoré sebelum diterbangkan dengan helikopter ke hospital lain di Manaus.

Mereka dijangka pulih sejurus selepas menjalani rawatan akibat kekurangan zat makanan.

Dalam laporan media tempatan, dua budak lelaki itu mendakwa tidak makan apa-apa semasa ketiadaan mereka dan hanya bergantung kepada air hujan untuk diminum. - Detik.com.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain