suria

Wanita terselamat daripada diculik bekas kekasih selepas guna isyarat tangan TikTok untuk minta pertolongan

Isyarat tangan yang dipelajari daripada TikTok menyelamatkan nyawa seorang wanita yang diculik bekas kekasihnya.

SEORANG wanita terselamat daripada menjadi mangsa culik bekas teman lelakinya sendiri, selepas mempamerkan isyarat tangan yang dipelajarinya daripada TikTok.

Wanita dari Amerika Syarikat itu yang tidak dinamakan oleh polis, pada mulanya mahu menziarahi abangnya ketika bekas kekasih, Johnathon Smith, 31, tiba di rumah dan menjemputnya dengan kereta.

Bagaimanapun pasangan itu bertengkar semasa dalam perjalanan.

Menurut polis, ketika pertengkaran, wanita berkenaan merayu agar dihantar pulang tetapi suspek enggan berbuat demikian malah mengugut untuk membunuhnya dengan sebatang pemutar skru.

Tertuduh didakwa memberhentikan kereta di sebuah stesen minyak dan mereka berdua masuk ke dalam kedai.

Ketika itulah wanita berkenaan menggunakan peluang dan mempamerkan isyarat tangan kepada juruwang.

Kakitangan stesen minyak itu kemudian bertindak menghubungi talian bantuan kecemasan 911, dan pada masa yang sama cuba menghalang suspek berlalu pergi dengan mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan transaksi pembayaran.

Tertuduh yang menyedari helah tersebut segera mengheret wanita berkenaan masuk semula ke kereta dan beredar.

Bagaimanapun, kenderaan polis tiba lebih awal dan menyebabkan berlaku insiden kejar-mengejar.

Selepas kira-kira 15 minit, polis berjaya memintas dan menghalang cubaan suspek melarikan diri.

Wanita berkenaan berjaya diselamatkan polis, manakala suspek didakwa atas penculikan dan serangan domestik. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain