SEORANG penduduk di Jebres di Solo di Jawa Tengah, Indonesia maut keracunan makanan, dipercayai berpunca daripada juadah berbuka puasa di sebuah masjid, pada Ahad. Menurut polis, mangsa sebenarnya tidak menyertai majlis berbuka puasa di masjid berkenaan. "Bagaimanapun, isterinya yang hadir pada majlis tersebut berkongsi makanan dengannya selepas itu," kata ketua siasatan jenayah Jebres, Iptu Supran Yogatama pada Isnin. Supran berkata, mangsa mengalami sesak nafas selepas menjamu makanan tersebut sebelum dibawa ke hospital. "Mangsa mengadu sesak nafas, loya sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia," katanya. Menurut Supran, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan gout. Beliau menambah, kes tersebut diserahkan kepada Polis Surakarta untuk siasatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polus Solo, Ade Safri Simanjuntak mengesahkan beliau telah menghantar sampel juadah buka puasa tersebut kepada Polis Jawa Tengah. "Kita telah mengambil sampel makanan dari masjid yang disyaki menyebabkan keracunan beramai-ramai. "Pada masa ini kita menghantar bukti ke makmal forensik Polis Jawa Tengah untuk meneliti unsur-unsur dalam makanan yang disyaki menyebabkan keracunan," katanya. Terdahulu, dilaporkan kira-kira 49 penduduk mengalami gejala keracunan seperti muntah, mual dan pening, selepas menikmati juadah berbuka puasa di sebuah masjid di Pucangsawit. Sebahagian mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan. - Kompas Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI