suria

Berselimut tebal menyaksikan perarakan, kesihatan Putin jadi tumpuan ramai... Didakwa akan ‘hilang upaya’ dalam waktu singkat

Putin meletakkan selimut tebal pada pahanya.

PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin tampil dengan selimut tebal yang diletakkan di atas pahanya ketika menyaksikan perarakan besar-besaran sempena Hari Kemenangan (Victory Day) negaranya, pada Isnin.

Hari Kemenangan itu merujuk kepada kejayaan Rusia menewaskan Nazi pada 9 Mei 1945.

Walaupun cuaca agak sejuk di Moscow dengan suhu sekitar 9 Celcius, namun tiada seorang pun pemimpin Kremlin yang menyaksikan perarakan tersebut merasakan keperluan untuk mengenakan selimut.

Situasi ini sekaligus menguatkan spekulasi yang bertiup beberapa bulan lalu mengenai tahap kesihatan Putin yang dikhabarkan merosot.

Terdapat laporan mengatakan Putin sedang menjalani rawatan untuk penyakit kanser dan Parkinson, sejak sebelum dia melancarkan serangannya ke atas Ukraine lagi.

Dalam satu pertemuan bersama Menteri Pertahanannya, Sergei Shoigu, pada 21 April lalu, Putin dilihat cuba mencengkam bucu meja dengan kuat untuk menyembunyikan tangannya yang menggeletar.

Menurut laporan, Putin yang bakal menganjak usia 70 tahun pada Oktober ini, dikhabarkan akan hilang upaya 'untuk masa yang singkat' bulan ini berikutan prosedur pembedahan.

Laporan itu menambah bahawa Putin merancang untuk menyerahkan tampuk kuasa kepada pembantunya yang juga bekas Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan, Nikolai Patrushev buat sementara. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain