SEORANG budak lelaki berusia lapan tahun ditemui mati di dalam bilik tidurnya selepas tersedut gas helium daripada belon yang dibeli untuk dijadikan hiasan majlis hari jadinya. Hilary McSweeney memberitahu inkues, ketika kejadian April tahun lalu, anaknya Luke Ramone Harper sedang berada di bilik. Dia kemudian naik ke bilik selepas Harper tidak menjawab panggilannya agar turun menikmati makan malam, lapor Irish Mirror. McSweeney berkata, sebaik memasuki bilik, dia mendapati anaknya yang merupakan seorang penghidap autisme dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), terlentang di atas lantai dengan belon helium di atas kepalanya. Wanita itu berkata, belon yang separa kempis itu dibiarkan terapung di bilik Harper sejak sambutan hari lahir anaknya pada minggu sebelumnya. Dia dan suami, Martin, kemudian membawa Harper keluar dan meletakkannya di lokasi yang lapang serta cuba melakukan tekanan di dada sementara menunggu ambulans tiba. Bagaimanapun, kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan dan diisytiharkan mati di Hospital Kanak-kanak Temple Street, Dublin. Doktor mengesahkan Harper maut akibat kecederaan otak. - Metro.co.uk Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI