PENEMUAN mengejutkan oleh seorang nelayan ketika meninjau satu kawasan hutan terpencil membawa kepada penyiasatan besar-besaran di Rusia. Nelayan itu pada mulanya sedang memancing dan ingin mencari kayu untuk membuat unggun api di hutan tersebut, apabila dia terjumpa empat tong air. Namun sebaik melihat ke dalam tong tersebut, nelayan berkenaan terkejut menemui janin yang diawet dalam larutan formalin. Secara keseluruhan, sebanyak 248 janin bayi ditemui di dalam tong yang dibuang berselerakan di hutan tersebut. Nelayan itu segera memaklumkan penemuan mengejutkan itu kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa memaklumkan ia adalah 'sisa bioperubatan' dari sekurang-kurangnya tiga hospital di wilayah Ural. Penemuan di kawasan hutan yang terletak kira-kira 70 kilometer di utara bandar Yekaterinburg itu dibuat pada 24 Julai 2012. Janin tersebut kemudian ditempatkan di bilik mayat di bandar Nevyansk berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Timbalan ketua kerajaan wilayah, Vladimir Vlasov menyifatkan kes itu sebagai 'luar biasa' tetapi berkata beliau percaya penyiasat akan segera mencari 'dalang' dan memberi jaminan mereka yang bersalah akan dihukum. Menurut agensi berita Rusia RT, sebuah syarikat pelupusan sisa perubatan yang berpangkalan di luar bandar Ekaterinburg mungkin berkait rapat dengan kes pembuangan janin tersebut. Sungguhpun sudah 10 tahun berlalu, penemuan mengejutkan itu masih kekal misteri dan tidak diketahui sama ada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI