suria

Stres kentut tak berhenti selama lima tahun, lelaki dakwa sandwich jadi punca... Mahu saman gerai gara-gara malu

Lelaki mahu saman premis makanan RM 1 juta gara-gara kerap kentut sejak lima tahun lalu. (Foto: Cornnelius Krishna Tedjo & Freepik).

AKIBAT menikmati hidangan sandwich yang dibeli dari sebuah gerai, seorang lelaki warga Britain mendakwa mengalami masalah sakit perut berpanjangan sejak lima tahun lalu.

Menurut Tyrone Prades, 46, dia membeli sandwich itu pada Disember 2017 bersama isteri dan anak-anaknya ketika melawat ke sebuah pasar Krismas di Birmingham.

Jelas Prades, sejak makan sandwich berkenaan, dia mengalami masalah kentut tanpa henti.

Sehubungan itu dia mengemukakan tuntutan saman sebanyak £200,000 (lebih RM1 juta) ke atas pemilik gerai makan yang menjual sandwich berkenaan.

Peguam Prades, Robert Parkin berkata, anak guamnya mengalami masalah kembung perut yang kerap dan tidak terkawal sejak kejadian itu.

Dia memberitahu mahkamah bahawa Prades mengalami kekejangan pada perut, demam, muntah dan cirit-birit beberapa jam selepas memakan makanan tersebut.

Bukan itu sahaja, bahkan dia juga dikatakan terlantar di atas katil akibat jangkitan bakteria salmonella selama lima minggu.

Malah, masalah ini membuatkan dia berasa malu untuk berada di khalayak ramai gara-gara tidak dapat mengawal kentut.

Selain kerap terjaga pada waktu malam, perutnya juga sering mengeluarkan bunyi aneh selepas kesakitan itu reda.

“Prades mengalami masalah kembung perut melampau secara berterusan.

“Perutnya juga terus mengeluarkan bunyi sehinggakan tidurnya terganggu. Gejala-gejala yang berterusan itu telah mengubah kehidupannya,” kata Parkin.

Dalam pada itu juga, peguamcara bagi Frankfurt Christmas Market Ltd., Philip Davy berkata, pegawai kesihatan alam sekitar menjumpai bakteria e-coli pada bahagian pisau yang digunakan dalam menyediakan sandwich tersebut.

Namun, ia bukanlah salmonella seperti yang didakwa.

Bagi membolehkan lelaki ini menerima wang tuntutan saman, dia perlu membuktikan sememangnya sakit disebabkan makanan yang disediakan restoran itu jika bukan kerana dijangkiti e-coli.

Syarikat yang menyediakan sandwich itu dalam masa sama menafikan dakwaan Prades, dan kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah. - METRO.CO

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain