BERANG maskot watak kartun bersikap diskriminasi, keluarga kanak-kanak berkulit hitam terus memfailkan saman tuntutan sebanyak $25 juta (RM111,261,221) terhadap Sesame Place iaitu taman tema di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS). Berdasarkan laporan, Jodi Brown bersama keluarga dan rakannya ke taman tema tersebut untuk melakukan aktiviti namun kelihatan beberapa maskot watak kartun berkenaan enggan bersalaman dengan anak buah serta anaknya yang berusia lima tahun. Ekoran itu, video berdurasi sembilan saat dimuat naik ke laman Instagram. Insiden tersebut kemudiannya tular di media sosial sehingga menyebabkan orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati serta ingin memboikot taman tema berkenaan. Dalam satu kenyataan awal, Sesame Place berkata, taman itu dan pekerjanya mengamalkan hak sama rata dalam semua bentuk. Namun kadangkala, penghibur terlepas permintaan untuk pelukan kerana kostum yang mereka pakai menyukarkan untuk dilihat di peringkat bawah. "Maskot watak Rosita itu tidak sengaja mengabaikan gadis-gadis berkenaan dan kecewa dengan salah faham," kata kenyataan itu. Taman itu kemudian mengeluarkan kenyataan kedua pada hari Isnin dan memohon maaf sekali lagi serta berjanji bahawa mereka akan mengambil tindakan untuk melakukan yang lebih baik. - India.com Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI