SEORANG ibu sanggup menyeludup dadah untuk anaknya yang ditahan di penjara. Dalam kejadian yang berlaku di Madiun di Jawa Timur, Indonesia, wanita itu memasukkan dadah dalam soto ayam beserta makanan lain buat anaknya. Ketua Pejabat Wilayah Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Jawa Timur, Zaeroji berkata, anak wanita itu sedang menjalani program bimbingan di Penjara Remaja Madiun. Kegiatan suri rumah itu terbongkar ketika petugas menjalankan pemeriksaan ke atas barang dan makanan yang dibawanya dalam sesi lawatan. "Pegawai mula curiga apabila mereka memotong salah satu leher ayam dalam sup itu,” kata Zaeroji dalam satu kenyataan. Ini kerana katanya leher ayam dalam hidangan soto itu kelihatan lebih besar daripada biasa dan membonjol. Bagaimanapun, petugas sukar untuk memotongnya kerana terdapat objek yang menghalangnya. "Selepas berjaya membukanya, ternyata terdapat tiga bungkusan plastik hitam yang diseludup dalam tiga leher ayam berbeza," tambah Zaeroji. Hasil pemeriksaan mendapati di dalamnya mengandungi dadah jenis methamphetamine. Sementara itu, Ketua Ibu Pejabat Penjara Remaja Madiun, Ardian Nova Christiawan berkata, siasatan turut mendapati dadah tersebut adalah untuk banduan lain. Susulan itu, anak kepada wanita tersebut dan banduan berkenaan kini ditempatkan dalam sel khas. "Kita serahkan kepada polis membuat tindakan, kerana kita komited untuk membanteras pengedaran dadah secara haram," kata Nova. - Kompas Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI