suria

Hampir ajal! Pemuda diserang lebah ketika potong dahan pokok limau, kena sengat lebih 20,000 kali

Bellamy terkena sengatan lebah lebih 20,000 kali. Foto: Gofundme

SEORANG lelaki berdepan dengan insiden yang hampir meragut nyawanya apabila dia diserang sekumpulan lebah.

Ketika kejadian, Austin Bellamy, 20, dari Ohio, Amerika Syarikat, sedang memotong dahan pokok limau di mana dia secara tidak sedar terpotong dahan yang terdapat sarang lebah.

Tindakan itu menyebabkan beribu-ribu lebah mengerumuni kepala, leher, dan bahunya.

Nenek Bellamy, Phyllis Edwards, dan bapa saudaranya hanya mampu melihat kejadian ngeri itu dari bawah.

Kedua-duanya turut dikerumuni lebah menyebabkan mereka tidak dapat membantu Bellamy yang masih berada di atas pokok.

Anggota bomba yang berkejar ke tempat kejadian berjaya membawa Bellamy turun dari pokok.

Pemuda itu kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Cincinnati di mana dia terpaksa bergantung kepada ventilator dan diletakkan dalam keadaan koma.

Nenek mangsa turut dibawa ke hospital tempatan dengan ambulans.

Ibu Bellamy, Shawna Carter berkata, anak lelakinya disengat lebih 20,000 kali dan tertelan kira-kira 30 ekor lebah.

Bellamy kini masih menerima rawatan di hospital. Doktor menjangkakan dia akan pulih sepenuhnya. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain