suria

Lelaki ‘terbang’ lebih 300 km, terperangkap 2 hari gara-gara belon hidrogen hilang kawalan

Belon hidrogen yang dinaiki Hu hilang kawalan dan 'terbang' sejauh 300 kilometer dari lokasi asal.

SEORANG lelaki berdepan dengan detik cemas selepas belon hidrogen yang dinaikinya hilang kawalan ketika dia bersama seorang rakan sedang menuai kacang pain di hutan wilayah Heilongjiang, timur laut China.

Ketika kejadian, rakannya sempat terjun ke tanah manakala lelaki yang hanya dikenali sebagai Hu tidak sempat berbuat demikian dan terus 'terbang' bersama belon hidrogen berkenaan.

Misi pencarian segera dimulakan untuk mengesan Hu yang masih berada di dalam belon.

Media China melaporkan pihak penyelamat dapat menghubungi Hu melalui telefon keesokan paginya dan mengarahkan lelaki tersebut mengempiskan belon secara perlahan-lahan untuk memastikan belon mendarat dengan cara yang paling selamat.

Hu akhirnya selamat mendarat di wilayah Fangzheng yang terletak berhampiran sempadan dengan Rusia, selepas 'terbang' sejauh 200 batu (322 kilometer) dan menghabiskan masa dua hari di dalam belon hidrogen.

Menurut media tempatan, Hu ditemui dalam keadaan selamat dan hanya mengalami sakit di bahagian belakangnya kerana berdiri sepanjang terperangkap di dalam belon. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain