suria

Penerjun udara profesional maut, terjunam pada ketinggian 304 meter sambil disaksikan penonton

Richard Sheffield maut ketika melakukan persembahan terjunan pada Jumaat lalu.

SEORANG penerjun udara profesional maut selepas terjunam pada ketinggian 304 meter, semasa membuat persembahan ketika perlawanan bola sepak, Jumaat lalu.

Richard Sheffield, 55, mengambil bahagian dalam aksi lagak ngeri profesional sebelum perlawanan bermula.

Penerjun udara berpengalaman itu membuat persembahan bersama anggota-anggota pasukan payung terjun dikenali sebagai Jump TN di Sekolah Tinggi David Crockett, bandar Jonesborough.

Penonton bagaimanapun cemas apabila menyaksikan Sheffield menjunam sebelum jatuh terhempas di atas padang.

Rakaman diperoleh stesen televisyen tempatan, WJHL-TV menunjukkan lelaki itu berpusing-pusing di ruang udara sebelum terhempas.

Sheffield dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Penonton di stadium tersebut bertafakur seketika sebelum perlawanan disambung semula.

"Mendiang merupakan ahli terjunan udara dengan pengalaman selama beberapa dekad dan yang dihormati dalam komuniti penerjun udara," kata Jump TN.

Richard meninggalkan seorang isteri, Kim yang berusia 38 tahun, dan dua anak kembar, Stacey dan Casey.- Thesun

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain