MENYEMBELIH atau mengorbankan haiwan untuk tujuan tertentu masih diamalkan dalam kalangan masyarakat di India. Ada yang percaya ritual mengorbankan haiwan atau burung boleh membawa tuah, dan ada yang melakukannya untuk menghalang kejahatan. Bagaimanapun, satu upacara ritual haiwan bertukar tragedi apabila individu melakukan upacara itu terkorban manakala ayam yang sepatutnya dikorbankan terselamat serta tidak cedera. Insiden berlaku di kawasan Pallavaram, Chennai, Tamil Nadu pada Khamis. Rajendran, seorang buruh gaji harian berusia 70 tahun hendak 'mengorbankan' seekor ayam jantan untuk menghapuskan 'kejahatan' di sebuah rumah yang baru dibina apabila dia terjatuh dari bangunan itu. Menurut polis, Rajendran sebelum ini pernah melakukan penyembelihan haiwan untuk mereka yang akan berpindah ke rumah baharu (housewarming). Pada Khamis dia dijemput oleh pemuda, T Lokesh, untuk melakukan korban ayam jantan sebelum majlis 'housewarming' di sebuah pangsapuri tiga tingkat yang baru dibina. Lokesh berkata Rajendran, pada awal pagi Khamis membawa ayam jantan dan pergi ke atas bangunan untuk melakukan upacara itu. Tetapi selepas lama tidak pulang, Lokesh pergi mencarinya dan mendapati dia terbaring di dalam lubang sedalam 20 kaki yang digali untuk lif di premis itu. Ayam jantan yang hendak dikorbankan juga jatuh dari bangunan sama tetapi terselamat dan Lokesh melihat haiwan itu berada di atas mayat Rajendran. Dia dikejarkan ke hospital berhampiran dan disahkan meninggal dunia semasa ketibaan. Menurut polis, Rajendiran mungkin secara tidak sengaja terjatuh ke dalam lubang gelap, ketika dia cuba mengelar leher ayam jantan itu. -India Times Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI