suria

Tak mahu isteri, anak jadi pemalas, lelaki rahsiakan menang loteri RM143 juta... 2 hari berkurung takut tiket hilang

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Li menuntut wangnya pada 24 Oktober lalu.

SEORANG lelaki di selatan China yang menang loteri berjumlah kira-kira 220 juta yuan (RM143 juta) tidak memberitahu isteri dan anaknya kerana bimbang wang itu akan menjadikan mereka sombong dan malas.

Lelaki itu yang menggunakan nama samaran Li, membeli 40 tiket loteri dengan harga 80 yuan (RM52) di wilayah Guangxi Zhuang, dan setiap tiket mempunyai tujuh nombor sama.

Menurut laporan Nanning Evening News, kesemua tujuh nombor itu 'mengena' dengan setiap tiket dibayar 5.48 juta yuan (RM32.5 juta).

Lelaki itu pergi ke pusat loteri di ibu kota Nanning untuk menuntut wangnya pada 24 Oktober lalu.

Li turut menderma 5 juta yuan (RM32.5 juta) kepada badan amal.

Semasa majlis penyampaian cek, Li memakai kostum kartun, cara kreatif untuk melindungi identiti pemenang yang kini popular di China.

Walaupun sangat teruja memenangi wang itu, dia cuba menahan perasaannya dan tidak memberitahu sesiapa, termasuk keluarga.

"Saya tak beritahu isteri atau anak. Saya bimbang mereka mungkin rasa lebih hebat daripada orang lain dan tak akan bekerja atau belajar bersungguh-sungguh pada masa hadapan,” katanya.

Li membawa pulang kira-kira 171 juta yuan (RM111 juta) selepas menderma kepada badan amal dan dikenakan cukai 43 juta yuan (RM27.9 juta).

Li berkata dia adalah peminat setia loteri dan membeli tiket secara tetap selama lebih sedekad.

Katanya, dia memilih tujuh nombor yang sama sejak beberapa tahun lalu kerana ia 'kelihatan menggembirakan'.

Kali ini, kesetiaan terhadap nombor tersebut membuahkan hasil yang besar.

"Dulu saya hanya menang beberapa yuan sahaja.

"Saya anggap membeli loteri sebagai hobi dan keluarga tak kisah. Saya pun tak membelanjakan banyak wang untuk itu tetapi loteri membuatkan saya berharap," katanya.

Li berkata dia tidak tidur apabila mendapat tahu menang jackpot pada 21 Oktober lalu.

Dia menaiki kereta api ke Nanning pada awal pagi keesokan harinya dan menginap di sebuah hotel pada hujung minggu sebelum mengambil hadiah wang di Pusat Pengedaran Loteri Kebajikan Guangxi pada 24 Oktober.

"Saya tidur di hotel selama dua hari. Saya tak keluar hujung minggu itu kerana tak mahu tiket itu hilang.

"Saya belum buat keputusan nak buat apa dengan wang itu dan saya memerlukan sedikit masa untuk merancang perbelanjaan," katanya.

Amalan bermain loteri, nombor ekor dan berjudi adalah ditegah dalam kalangan umat Islam. -SCMP

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain