SEORANG remaja perempuan maut selepas terjatuh dari atas bumbung ketika cuba mendapatkan telefon bimbitnya. Melike Gun Kanavuzlar, 15, sebelum itu sempat mengambil swafoto (selfie) dari atas bumbung apabila telefon bimbitnya terjatuh. Gadis itu cuba mendapatkan kembali telefon tersebut, namun dia tergelincir dan kehilangan keseimbangan badan menyebabkannya terjatuh dari ketinggian 40 kaki (12 meter) di atas tanah. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bangunan empat tingkat itu merakam detik ngeri ketika gadis berkenaan jatuh ke tanah. Menerusi rakaman tersebut, kelihatan seorang pejalan kaki sempat mengangkat telefon bimbit milik Melike yang turut terjatuh atas tanah, sebelum dikejutkan dengan sosok remaja malang itu yang jatuh beberapa saat kemudian. Tragedi itu berlaku di bandar Ortaca, wilayah Mugla, di barat Turki. Pasukan paramedik dan polis yang tiba di tempat kejadian segera membawa remaja yang cedera parah itu ke hospital. Mangsa dipindahkan ke unit rawatan rapi di mana dia bertarung nyawa selama 18 hari sebelum meninggal dunia. Upacara pengebumian Melike dilakukan pada Ahad, 30 Oktober lalu. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI