suria

Bapa merungut laptop ‘banyak sampah’, anak niat baik tolong cuci di bilik mandi... siap guna sabun!

Kanak-kanak ini mahu membantu bapanya membersihkan laptop yang 'banyak sampah'.

SEORANG ibu keliru sama ada mahu menangis atau ketawa selepas anak perempuannya pantas bertindak balas apabila mendengar bapanya merungut kerana komputer ribanya mempunyai 'terlalu banyak sampah'.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu segera mencucinya dengan air dan sabun.

Video kejadian dirakam oleh ibunya, dari Shandong di timur China, menunjukkan sebuah laptop terendam di dalam besen dipenuhi air dan buih manakala bebola mandian berwarna biru terapung di atas papan kekunci.

Air paip dapat dilihat mencurah ke dalam besen sambil kanak-kanak yang dipanggil Duomi itu memeriksa sama ada air itu bersih atau tidak.

"Saya masuk bilik air dan melihat apa yang dilakukan anak perempuan saya. Saya hampir mati kerana marah," kata ibunya.

Dalam kejadian pada minggu lepas ini, dia yang tidak mendedahkan identiti berkata, ketika itu dia baru pulang ke rumah dan pada masa itu Duomi biasanya akan tidur, lapor Jinan Times.

"Ayahnya sedang tidur dan berdengkur kuat. Saya dengar seseorang sedang buat sesuatu di bilik mandi kami.

"Saya masuk bilik air dan nampak apa yang anak perempuan buat. Saya hampir mati kerana marah.

"Semasa sarapan pagi suami saya merungut terlalu banyak sampah dalam komputernya. Jadi anak kami memutuskan untuk tolong cuci," katanya.

rendam11

Sebaik melihat apa yang dilakukan anaknya, ibunya segera mengeluarkan laptop itu dari besen dan mengelapnya hingga kering.

Bagaimanapun ia tidak dapat dihidupkan.

Menurut laporan, walaupun berasa marah dia juga terhibur dengan cubaan anaknya untuk membantu.

"Ketika itu saya memang nak pukul untuk beri pengajaran. Tapi saya fikir balik dia terlalu muda untuk faham apa yang dia buat adalah salah," katanya.

Bapa kanak-kanak itu, Wang, berkata dia membeli komputer riba itu tiga tahun lalu dengan harga 9,000 yuan (AS$1,200). Peranti itu masih tidak dapat dihidupkan selepas beberapa hari kemudian.

Video itu telah ditonton 100 juta kali di Weibo, dengan ramai yang terhibur melihat reaksi bersahaja budak itu untuk membantu bapanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain