suria

Padah cuba permainan ‘Russian roulette’, remaja maut tertembak kepala sendiri

Mayat remaja berkenaan ditemui di sebuah rumah terbiar. Foto: Thaiger

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui mati selepas bermain permainan 'Russian roulette' (rolet Russia), iaitu sebuah permainan maut menggunakan pistol revolver.

Mayatnya ditemui di sebuah rumah terbiar di daerah Nong Chok, Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Menurut dua rakan remaja lelaki tersebut, mereka sebelum itu bermain permainan berkenaan sebelum mangsa menembak dirinya sendiri.

Pihak berkuasa dari Balai Polis Lam Hin dan pasukan penyelamat dimaklumkan mengenai kejadian tembakan itu sebelum bergegas ke rumah terbiar yang terletak di Jalan Khlong Sip-Khlong Sipsi.

Mereka kemudian menemui mayat remaja tersebut yang identitinya dirahsiakan, dengan kesan tembakan di kepala manakala sepucuk pistol Revolver turut ditemui berada berhampiran jasadnya.

Menurut rakan mangsa, mereka bergilir-gilir mengacukan pistol ke arah kepala dan menarik picu di mana apabila tiba giliran mangsa, dia mengacukan pistol ke kepala lalu menembak dirinya sendiri.

Mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik, Bangkok untuk bedah siasat.

Sementara itu kedua-dua remaja terbabit dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. - Thaiger.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain