suria

Gagal hasilkan zuriat sejak 12 tahun lalu, pasangan panda dihantar pulang ke China

Tian Tian (kiri) dan Yang Guang akan dihantar pulang ke China. Foto: PA

SEPASANG panda, Yang Guang dan Tian Tian akan dihantar pulang ke China selepas gagal melahirkan anak.

Pasangan haiwan itu telah menghuni Zoo Edinburgh sejak 2011.

Mereka diletakkan di zoo berkenaan dengan harapan dapat melahirkan anak panda dan meneruskan kelangsungan spesies itu yang kian terancam.

Ketua eksekutif Persatuan Zoologi Diraja Scotland, David Field, memberitahu, haiwan adakalanya tidak bertemu dengan pasangan yang serasi untuk mengawan.

"Secara genetik mereka nampak seperti sepadan, tetapi dari segi tingkah laku, jika ia diibaratkan seperti Tinder, mungkin Tian Tian tidak akan berkenan jika ia mempunyai pilihan," ujarnya.

Tian Tian dan Yang Guang 'dipajak' daripada kerajaan China untuk tempoh 10 tahun dengan kos tahunan yang dilaporkan sebanyak £600,000. (RM3.19 juta).

Kedua-dua panda itu dilahirkan pada Ogos 2003 dan berusia 19 tahun pada 2022.

Tian Tian telah melahirkan anak kembar di negara asalnya tetapi ketika

musim mengawan semula jadi pertamanya di Edinburgh, pada 2012, ia tidak berjaya bunting.

Sepasukan pakar kemudian cuba menjalankan kaedah permanian terhadap Tian Tian sebanyak lapan kali dengan sperma seekor panda lain yang diterbangkan dari China, namun percubaan tersebut juga gagal. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain