suria

Lelaki balas dendam, rempuh kedai serbaneka selepas pemilik enggan beri beg plastik

Sebuah kedai serbaneka di Geoje, wilayah Gyeongsang Selatan rosak selepas dirempuh sebuah kereta. Foto: The Korea Herald/ANN

SEORANG lelaki bertindak merempuh sebuah kedai serbaneka di Korea Selatan dengan keretanya, selepas permintaan untuk mendapatkan beg plastik ditolak oleh pemilik premis itu, demikian menurut polis.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 10.30 malam Sabtu itu, pemandu tersebut merempuh keretanya ke dalam kedai serbaneka yang terletak di Geoje, wilayah Gyeongsang Selatan, menyebabkan beberapa barangan di premis itu rosak.

Tidak sekadar itu, lelaki tersebut kemudian meluru masuk ke dalam kedai dan menyerang pemiliknya.

Dia dilaporkan berada di bawah pengaruh alkohol. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat insiden tersebut.

Lelaki yang tidak dinamakan itu berjaya ditahan polis di tempat kejadian dan didakwa atas kesalahan pemusnahan khas harta persendirian dan jenayah balas dendam.

Menurut polis, lelaki tersebut sebelum ini dituduh mencederakan pemilik premis secara fizikal, pada akhir November lalu.

Ketika itu, dia meminta beg plastik daripada pemiliknya selepas membeli aiskrim.

Bagaimanapun, permintaannya ditolak kerana premis tersebut mematuhi larangan beg plastik oleh Kementerian Alam Sekitar.

Berang permintaan tidak dipenuhi, lelaki itu meludahi pemilik premis.

Keluarga pemilik premis kemudiannya memfailkan aduan kepada polis.

Malah mereka menolak permintaan tertuduh untuk menyelesaikan perkara itu secara tertutup, dan sebaliknya meneruskan dakwaan terhadapnya.

Untuk rekod, larangan beg plastik di Korea Selatan telah berkuat kuasa sejak 24 November di kedai runcit untuk menangani penggunaan plastik yang semakin meningkat. - THE STAR/ANN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan