SEORANG lelaki berusia 48 tahun melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan membebaskan perogol bersiri yang menyerang ibunya ketika dia berusia enam tahun pada tahun 1981. Andrew Longmire, yang menukar namanya kepada Andrew Barlow, telah dipenjarakan selama 34 tahun lepas selepas dijatuhi 13 hukuman penjara seumur hidup dan tambahan 56 tahun bagi kesalahan lain-lain. Rekod jenayahnya terdiri daripada 13 kes rogol, tiga percubaan rogol, serangan tidak senonoh dan menggunakan senjata api untuk menentang penangkapan pihak polis. Media tempatan Manchester, United Kingdom melaporkan bahawa Lembaga Parol mengesahkan Barlow akan dikeluarkan bulan Januari. Lelaki tersebut berasa sangat jijik dan terkejut berikutan berita yang menyatakan penjenayah yang merosakkan keluarganya bakal dibebaskan. Perogol bersiri itu ditahan ketika didapati tidur dalam sebuah van. Ibunya adalah mangsa pertama Barlow selepas dia memecah masuk ke rumah keluarganya pada jam 8 pagi. Pada hari kejadian, ibunya dibawa ke tingkat atas untuk dirogol sementara bapanya bekerja, dan adik-adiknya duduk di meja sarapan. Suami mangsa tidak dapat menghadapi perkara yang berlaku, dan mengakibatkan dia mempunyai hubungan sulit, berpindah dan bercerai bersama isterinya. Disebabkan mangsa tidak mampu membeli rumah untuk keluarganya, mereka berpindah ke kawasan perkampungan dan, malangnya, dia mengalami tabiat buruk menagih alkohol sebelum meninggal dunia dalam usia 40-an akibat kanser. ARTIKEL BERKAITAN: Guru agama dijatuhi hukuman mati selepas rogol, hamilkan 13 pelajar "Saya menangis kerana mengenangkan peristiwa ngeri yang berlaku terhadap ibu saya dan kehidupannya. "Perkara yang paling menghantui saya ialah bagaimana ibu saya menderita. Saya dapati bahawa orang ramai berubah selama bertahun-tahun dan harus dipulihkan, tetapi bukan dalam kes ini. "Ini bukan kesalahan sekali sahaja. Ibu saya adalah mangsa pertama dan 12 lagi orang terlibat," katanya. Ibunya berusia lewat 20-an ketika dirogol, tetapi anaknya memberi penghormatan kepada usaha yang dia lakukan untuk memberi dia dan adik perempuannya didikan sebaik mungkin selepas peristiwa traumatik itu. "Kami berubah suasana daripada berada di rumah yang bagus kepada rumah lebih teruk. "Tetapi ibu saya meneruskan dan melakukan yang terbaik untuk kami demi anak-anak. "Ibu saya mempunyai beberapa teman lelaki, tetapi tidak pernah menikahi orang lain selain bapa saya," ujarnya. Longmire merogol mangsa di kawasan rumah teres di England. Kini, dia telah membuat permintaan rasmi kepada Lembaga Parol untuk keputusan itu dipertimbangkan semula. Longmire yang digelar ‘Perogol Coronation Street’ telah merogol wanita di rumah teres mereka merentasi pekan dan bandar di utara England sebelum polis mengejarnya pada Januari 1988, apabila dua pegawai di Bevington, Wirral, membuat rondaan harian selepas menemui seorang lelaki tidur dalam van. Dia kemudiannya melepaskan tembakan senapang patah ke arah pegawai tetapi dikalahkan dan tanpa disedari, mereka berjaya menangkap lelaki paling dikehendaki di Britain. – Daily Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI