suria

Ahli mafia bekerja di kedai piza, penjenayah tukar identiti jadi tukang masak

Tukang masak yang membuat piza ini sebenarnya ahli mafia dalam diam. Foto: Daily Hive

SELEPAS 16 tahun hidup dalam buruan, lelaki Itali yang menaungi salah satu pertubuhan mafia paling berkuasa di negara itu berjaya ditangkap Interpol di Perancis, Khamis lalu.

Pendakwa raya Perancis berkata, Edgardo Greco, 63, ditahan di Saint-Etienne, Perancis, tempat dia pernah bekerja sebagai pembuat piza.

Greco memiliki Caffe Rossini Ristorante di Saint-Etienne dari Jun hingga November 2021.

Lelaki itu menggunakan nama Paolo Dimitrio dan bekerja di restoran Itali lain di bandar itu.

Dia disyaki menganggotai pertubuhan mafia 'Ndrangheta di Calabria, selatan Itali.

Greco dikehendaki kerana dua pembunuhan pada 2006 dan cubaan membunuh dalam kes lain.

Pihak berkuasa Itali berkata, adik-beradik Stefano dan Giuseppe Bartolomeo dipukul hingga mati dengan palang besi di sebuah kedai ikan di Calabria pada 2006.

Greco juga dituduh atas cubaan membunuh Emiliano Mosciaro sebagai sebahagian daripada perang mafia antara kumpulan Pino Sena dan Perna Pranno pada awal 1990-an.

Selepas penahanannya pada awal pagi, dia hadir di hadapan majistret di Lyon yang secara rasmi memberitahunya mengenai waran tangkap Itali, kata pendakwa raya.

Dia kemudiannya ditahan reman.

Menurut Interpol, Ndrangheta dianggap sebagai kumpulan mafia paling meluas dan berkuasa di Itali yang beroperasi di seluruh dunia dan mempunyai hubungan kukuh dengan perdagangan kokain dari Amerika Selatan ke Eropah.

Penahanan Greco dibuat seminggu selepas polis Itali berkata, mereka berjaya membongkar kumpulan mafia 'Ndrangheta yang menguasai kawasan besar di selatan Calabria dan merampas aset bernilai lebih AS$270 juta (RM1.1 bilion).

Dua minggu sebelum itu, polis Itali menahan salah seorang ketua paling terkenal mafia, Cosa Nostra Sicily, Matteo Denaro, 60, yang melarikan diri selama 30 tahun.

Denaro ditahan selepas mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di ibu kota Sicily, Palermo.

Menurut data, seramai 56 orang dipenjarakan dan diletakkan di bawah siasatan jenayah kerana konspirasi berkaitan mafia, peras ugut, penculikan, rasuah dan memiliki senjata. - Daily Hive

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain